Sunday, 17 April 2016

GANJARAN BESAR BUAT KERJA DAKWAH



GANJARAN YANG BESAR KEPADA MEREKA YANG MENYAMPAIKAN DAKWAH DI JALAN ALLAH.

Daripada Saidina Sahl bin Sa'ad Radhiayallahu 'Anhu, bahawa Rasulullah Sollallahu Alaihi Wa Sallam pernah bersabda pada hari Peperangan Khaibar :

"Aku akan berikan panji-panji ini kepada seorang lelaki yang akan Allah mengurniakan kemenangan dengannya. Dia mencintai Allah dan Rasul-Nya. Allah dan Rasul-Nya juga mencintainya.

Saidina Sahl Radhiayallahu 'Anhu berkata :

Pada malam tersebut, para sahabat saling bercakap sesama mereka tentang siapakah lelaki tersebut.

Apabila menjelang waktu pagi, para sahabat bersegera untuk bertemu dengan Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam. Mereka semua bercita-cita agar Rasulullah menyerahkan panji-panji yang dijanjikan itu kepadanya.

Rasulullah Sollallahu Alaihi Wa Sallam bertanya :

Di manakah Ali bin Abi Talib?

Para sahabat menjawab :

Dia mengadu sakit pada kedua-dua belah matanya.

Para sahabat membawakan Saidina Ali untuk bertemu dengan Rasulullah. Baginda pun meludahkan air liur Baginda ke arah kedua-dua mata Saidina Ali serta mendoakan kesembuhan untuknya. Lantas Saidina Ali sembuh dan merasakan seolah-olah dia tidak pernah berasa sakit sebelum ini.

Lalu Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam menyerahkan panji-panji kepada Saidina Ali Radhiayallahu 'Anhu.

Saidina Ali berkata kepada Rasulullah :

Wahai Rasulullah, adakah aku memerangi mereka sehinggalah mereka menjadi seperti kita?

Baginda menjawab :

"Laksanakanlah tugasmu itu sehingga apabila kamu berada di medan mereka, serulah mereka kepada Islam dan beritahulah kepada mereka tentang perkara yang wajib mereka lakukan daripada hak Allah.

Demi Allah, kamu menjadi penyebab kepada seorang lelaki mendapat hidayah Allah adalah lebih baik daripada kamu memiliki unta merah."

Hadith riwayat al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim rahimahumallah.

Al-Imam an-Nawawi rahimahullah berkata :

Humur an-Na'am - حمر النعم adalah unta merah yang merupakan harta yang paling berharga di kalangan orang Arab. Dijadikan kiasan kepada sesuatu yang sangat bernilai. Bahkan tiada sesuatu yang lebih berharga daripadanya. Kiasan tersebut adalah untuk memudahkan kefahaman.

Hadith ini menjelaskan tentang kelebihan ilmu dan menyeru kepada hidayah dan memulakan suatu amalan yang baik kemudian diikuti oleh orang ramai.

"Ya Allah, taufiqkanlah kami dan zuriat kami untuk termasuk di kalangan mereka yang mencintai ilmu dan dakwah di Jalan-Mu."

Abu Anas Madani
Ahad, 7 Rejab 1437H - 17 April 2016.

No comments:

Post a Comment