Thursday, 14 April 2016

HADIS BERKENAAN DENGAN MAKAN

  



1  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1959.
Dari Anas bin Malik r.a. katanya: "Abu Thalhah menyuruh ku mendatangi Rasulullah saw. untuk mengundang beliau makan ke rumahnya, dan Abu Thalhah telah menyediakan hidangan. Lalu aku pergi mengundang beliau. Ku dapati beliau sedang bersama-sama orang ramai. Beliau menengok kepada ku sehingga aku malu kerananya. Lalu kataku, "Abu Thalhah mengundang Anda makan ke rumahnya, sudilah Anda memperkenankan!" Maka berkata beliau kepada orang ramai, "Berdirilah semuanya!" Kata Abu Thalhah, "Ya, Rasulullah! Aku hanya menyediakan makanan untuk Anda seorang." Lalu beliau jamah makanan yang tersedia itu dan mendoakan berkat bagi makanan tersebut. Kemudian beliau berkata, "Suruh masuk kawan-kawan itu sepuluh orang." Kata beliau, "Makanlah Tuan-tuan!" Dari sela-sela jari beliau keluar sesuatu (berupa makanan), maka makanlah mereka sampai kenyang, sesudah itu mereka keluar. Kata beliau. "Suruh masuk sepuluh orang lagi." Mereka makan pula sampai kenyang. Begitulah seterusnya secara bergantian mereka masuk sepuluh orang dan keluar sepuluh orang, sehingga tidak seorang pun yang ketinggalan. Semuanya masuk dan makan sampai kenyang. Kemudian ternyata makanan masih bersisa sebanyak semula."
2  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1886.
Dari Abu Tsa'labah Al Khusyani r.a. katanya dia datang kepada Rasulullah saw. lalu bertanya : "Ya, Rasulullah! Kami tinggal di negeri Ahli Kitab. Kami makan di piring mereka, sedangkan penghidupan di negeri itu ialah berburu. Aku berburu menggunakan panah dan anjing-anjingku yang terlatih dan tidak terlatih. Ajarkanlah kepada ku, apakah halal bagi kami yang demikian itu?" Jawab Rasulullah saw., "Adapun engkau tinggal di negeri Ahli Kitab dan engkau makan di piring mereka, seandainya engkau masih bisa mendapatkan piring selain piring mereka, janganlah makan di piring mereka. Tetapi jika engkau tidak mendapatkan piring lain, basuhlah dahulu piring mereka itu dan makanlah di piring itu. Adapun engkau tinggal di negeri yang penghidupannya berburu, bila engkau memanah buruan dengan panahmu, sebutlah nama Allah, kemudian makanlah hasil buruan itu. Bila engkau menangkap buruan dengan mempergunakan anjing yang terlatih, sebutlah nama Allah kemudian makanlah. Dan bila engkau menangkap buruan dengan mempergunakan anjing yang tidak terlatih dan engkau masih sempat menyembelihnya, makanlah."
3  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0025.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Ketika terjadi perang Tabuk, pasukan Rasulullah saw. ditimpa mushibah kekurangan bahan makanan. Kerana itu mereka memohon kepada Rasulullah saw., "Kalaulah Anda izinkan, akan kami sembelih unta-unta pembawa beban, untuk kita makan dan kita manfaatkan lemaknya." Jawab Rasulullah saw., "Lakukanlah!" Kata Abu Hurairah r.a., "Sementara itu 'Umar r.a. datang, lalu katanya: "Ya, Rasulullah! Jika unta-unta itu disembelih, kenderaan kita akan berkurang. Tetapi, bagaimanakah kiranya kalau mereka diperintahkan mengumpulkan sisa perbekalan mereka, kemudian Anda mendoa kepada Allah, semoga Allah memberikan berkat bagi makanan itu, mudah-mudahan Dia akan mengabulkannya." Jawab Rasulullah s.a.w.: "Baiklah!" Beliau meminta sehelai tikar kulit, lalu dibentangkannya. Kemudian beliau suruh kumpulkan semua sisa perbekalan mereka. Ada yang membawa segenggam kurma, dan ada pula yang membawa sisa-sisa roti; sehingga semua yang terkumpul itu kelihatan hanya amat sedikit di atas tikar itu. Lalu Rasulullah saw. mendoa semoga perbekalan yang ada itu beroleh berkat "Isilah kantong perbekalan Anda masing-masing!" Lalu mereka mengisi semua kantong perbekalan mereka, sehingga tidak ada satu kantong pun yang ketinggalan; bahkan semuanya terisi penuh. Sesudah itu mereka makan bersama-sama sampai kenyang. Ternyata sesudah makan, makanan itu masih bersisa. Maka bersabda Rasulullah saw., "Aku mengaku tidak ada Tuhan selain Allah dan aku Rasulullah. Tidak ada seorang jua pun yang meninggal dengan meyakini kedua pengakuan itu tanpa ragu, yang dihalangi masuk syurga."
4  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1966.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw. lalu dia berkata, "Aku dalam kesulitan susah hidup dan lapar." Maka beliau bawa pulang itu ke rumah isteri beliau satu persatu menanyakan kalau-kalau mereka ada sedia makanan. Para isteri beliau menjawab. "Demi Allah yang mengutus Anda dengan yang hak, aku tidak sedia apa-apa selain air. Begitulah jawapan mereka masing-masing. Lalu bersabda beliau kepada para sahabat. "Siapa bersedia menerima tetamu malam ini nescaya di beri rahmat oleh Allah Ta'ala." Maka berdirilah seorang lelaki Ansar seraya berkata, "Aku, ya Rasulullah!" Maka dibawanya lah orang itu ke rumahnya. Dia bertanya kepada isterinya, "Adakah engkau sedia makanan?" Jawab isterinya, "Tidak ada, kecuali makanan anak-anak." Katanya, "Pujuklah mereka dengan apa saja. Bila tetamu kita dah masuk tunjukkan kepadanya bahawa kita makan bersamanya. Bila dia telah mulai makan, berdirilah ke dekat lampu lalu padamkan. Maka duduklah mereka dan sang tetamu pun makanlah. Setelah Subuh, sahabat tersebut bertemu dengan Nabi saw. lalu kata beliau, "Allah kagum dengan cara kamu berdua melayani tetamu kalian malam tadi."
5  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1751.
Dari 'Abdullah bin Rabah, dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Suatu perutusan (delegasi) datang kepada Mu'awiyah di bulan Ramadhan. Maka kerana itu sebahagian kami sibuk membuat makanan untuk yang lain-lain. Di antaranya terdapat Abu Hurairah yang sering mengajak kami ke tempatnya. Aku berkata kepadanya, "Tidak seyogyanyakah ku buat makanan, lalu ku undang mereka makan ke rumah ku? Lalu ku suruh buatkan makanan, kemudian ku temui Abu Hurairah untuk mengundangnya makan malam. Kata ku, "Sekarang makan malam di rumahku." Jawab Abu Hurairah, "Engkau mendahului ku?" Jawab ku, "Ya, aku mengundang mereka juga." Kata Abu Hurairah, "Sukakah kalian ku ceritakan kepada kalian suatu peristiwa mengenai diri kalian sendiri, hai kaum Ansar?" Lalu diceritakannya peristiwa sekitar penaklukan Mekah. Katanya, "Rasulullah saw. berangkat hingga sampai di Mekah. Beliau mengangkat Zubair mengepalai satu di antara dua sayap, dan mengangkat Khalid mengepalai sayap yang lain, dan mengangkat Abu 'Ubaidah mengepalai pasukan tanpa baju besi. Mereka masuk ke dalam lembah, sedangkan Rasulullah saw. dalam suatu regu. Kata Abu Hurairah, "Beliau langsung memperhatikan situasi medan, lalu beliau terlihat kepada ku. Kata beliau, "Kamu, hai Abu Hurairah!" Jawab ku, "Ya, hamba, ya Rasulullah!" Sabda beliau, "Jangan dibolehkan mendekat kepada ku selain orang-orang Ansar, kecuali Syaiban. Suruh orang-orang Ansar berkumpul ke dekat ku!" Mereka segera berkumpul sekeliling beliau. Sedangkan orang-orang Quraisy telah menyusun barisan mereka pula dalam beberapa pasukan. Kata orang-orang Quraisy, "Biarkan mereka mendahului kita; jika mereka beruntung, kita sama-sama dengan mereka, dan jika mereka dapat bahaya, kita berikan kepada mereka apa yang dimintanya." Sabda Rasulullah saw., "Kalian lihatkah pasukan Quraisy dan pengikut-pengikut mereka? Kemudian beliau memberi isyarat dengan kedua tangannya, yang satu di atas yang lain, (maksudnya supaya waspada dan saling melindungi). Kemudian beliau berkata pula, "Sampai berjumpa di Safa." Kata Abu Hurairah, "Kami terus berjalan. Tidak seorang pun di antara kami yang membunuh kecuali jika orang Quraisy itu membunuh. Ternyata tidak ada satu pun perlawanan ditujukan kepada kami. Kemudian Abu Sufyan datang menghadap Rasulullah saw. Dia mengatakan, "Ya, Rasulullah! Jikalau orang-orang Quraisy dibunuhi, maka tidak akan ada lagi orang-orang Quraisy sesudah ini. (ertinya orang-orang Quraisy menyerah kalah tanpa pertumpahan darah). Maka bersabda Rasulullah saw., "Siapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan, dia aman." Mendengar sabda Rasulullah seperti itu, maka orang-orang Ansar berkata sesama mereka, "Agaknya Rasulullah saw. telah rindu kepada kampung halamannya, sehingga timbul rasa kasih sayangnya berkeluarga." Kata Abu Hamid, "Ketika itu wahyu turun. Kami tahu kalau wahyu sedang turun. Kalau wahyu sedang turun, tidak seorang pun yang berani memandang Rasulullah saw. sampai wahyu selesai turun. Setelah selesai, Rasulullah saw. bersabda, "Hai, kaum Ansar!" Jawab mereka, " Kami, ya Rasulullah!" Tanya beliau, "Kaliankah yang berkata bahawa aku telah rindu kampung halaman?" Jawab mereka, "Betul, ya Rasulullah!" Sabda beliau, "Tidak! Sekali-kali tidak! Aku adalah hamba Allah dan RasulNya. Aku telah hijrah kepada Allah dan kepada kalian semua. Hidup dan mati ku bersama-sama dengan kalian." Mendengar ucapan beliau seperti itu, mereka datang menghampiri sambil menangis dan berkata, "Ya, Rasulullah! Kami berkata demikian itu sesungguhnya, kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya." Jawab Rasulullah saw., "Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya membenarkan pengakuan kalian dan memaafkannya." Kata Abu Hurairah, "Maka datanglah orang ramai (penduduk Mekah) ke rumah Abu Sufyan. dan meteka tutup pintu rumah mereka. Sedang Rasulullah saw. terus menuju Hajarul Aswad, lalu beliau cium batu, kemudian beliau tawaf mengelilingi Kaabah. Kemudian beliau datangi berhala-berhala sembahan orang-orang Quraisy yang terletak di sekitar Kaabah, lalu beliau tusuk matanya dengan busur panah yang ada di tangan beliau, sambil berkata, "Telah datang kebenaran, maka lenyaplah kebatilan." Setelah selesai tawaf, beliau datang ke bukit Safa lalu naik ke puncaknya. Sampai di atas beliau memandang ke Kaabah, kemudian beliau mengangkat kedua tangannya, lalu dia memuji Allah dan mendoa apa yang hendak didoakannya."
6  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2201.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Pada hari kiamat kelak Allah Azza wa Jalla berfirman: Hai anak Adam! Aku sakit, mengapa tidak engkau kunjungi Aku?" Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan ku. Bagaimana mungkin aku mengunjungi Engkau padahal Engkau Tuhan semesta alam?" Firman Allah Ta'ala, "Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba Ku si Fulan sakit, mengapa kamu tidak mengunjunginya? Apakah kamu tidak tahu seandainya kamu kunjungi dia, kamu akan mendapati Ku di sisinya?" "Hai, anak Adam! Aku minta makan kepada mu, mengapa kamu tidak memberi Ku makan?" Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan. Bagaimana mungkin aku memberi Engkau makan, padahal Engkau Tuhan semesta alam?" Firman Allah Ta'ala, "Apakah kamu tidak tahu, bahawa hamba Ku si Fulan minta makan kepada mu tetapi kamu tidak memberinya makan. Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu memberinya makan nescaya engkau mendapatkannya di sisi Ku?" "Hai, anak Adam! Aku minta minum kepada mu, mengapa kamu tidak memberi Ku minum?" Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan, bagaimana mungkin aku memberi Engkau minum, padahal Engkau Tuhan semesta alam?" Firman Allah Ta'ala, "Hamba Ku si Fulan minta minum kepada mu, tetapi kamu tidak memberinya minum. Ketahuilah, seandainya kamu memberinya minum, nescaya kamu mendapatkannya di sisi Ku."
7  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1939.
Dari Hudzaifah r.a. katanya: "Apabila kami makan bersama-sama Rasulullah saw., kami belum mengulurkan tangan (mengambil makanan yang dihidangkan sebelum Rasulullah saw. memulainya. Pada suatu hari kami akan bersama-sama beliau tiba-tiba datang seorang gadis kecil. Seperti didorong dia menjangkaukan tangannya hendak mengambil makanan, tetapi segera ditangkap Rasulullah saw. Kemudian datang pula seorang Arab dusun, dia seperti didorong mengulurkan tangannya. Lalu ditangkap pula oleh beliau. Maka bersabda Rasulullah saw.. "Hanya syaitan yang menghalalkan makanan tanpa menyebut nama Allah memakannya. Dia datang bersama gadis dan orang dusun ini hendak turut makan bersama-sama mereka. Demi Allah yang jiwaku dalam kuasa-Nya. sesungguhnya tangan syaitan itu ada di kedua tangan orang dusun dan gadis itu."
8  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1121.
Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Hai, 'Aisyah! Adakah engkau sedia makanan?" Jawab 'Aisyah, "Tidak, ya Rasulullah!" Sabda beliau, "Kalau begitu aku puasa." Kemudian Rasulullah saw. pergi, lalu ada orang datang memberikan makanan untuk kami. Setelah Rasulullah saw. kembali, ku katakan kepada beliau, "Ya, Rasulullah! Tadi ada orang datang memberi kita makanan dan ku simpan untuk anda." Tanya Rasulullah saw., "Makanan apa?" Jawab ku, "Kuih hais." Sabda beliau, "Bawalah kemari!" Kuih itu ku sajikan untuk beliau, lalu beliau makan.
9  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1885.
Dari 'Adi bin Hatim r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda kepadanya. "Apabila kamu melepas anjingmu maka sebutlah nama Allah (Bismillahirrahmanirrahim). Jika anjing itu menangkap buruan dan engkau dapati masih hidup, sembelihlah! Jika engkau dapati telah mati dan tidak dimakan oleh anjingmu, makanlah olehmu. Dan jika engkau dapati anjingmu bersama anjing lain, sedangkan buruannya telah mati jangan dimakan buruan itu, kerana engkau tidak tahu anjing mana sesungguhnya yang membunuh buruan itu. Jika engkau memanah buruan dengan panahmu, maka makanlah buruan itu jika engkau mahu. Tetapi jika engkau dapati buruan itu mati tenggelam (jatuh ke air) jangan dimakan."
10  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1358.
Dari Anas r.a., katanya: "Ketika Nabi saw. kahwin dengan Zainab, Ummu Sulaim memberikan sebuah kuih dalam mangkuk batu kepada beliau. Maka bersabda Rasulullah saw. kepada Anas, "Undang ke sini atas namaku siapa saja umat Islam yang berjumpa denganmu!" Maka ku undanglah siapa saja yang berjumpa dengan ku, sehingga tidak ada yang ketinggalan. Mereka datang ke rumah Nabi, keluar masuk bergantian. Nabi saw. meletakkan tangannya di atas makanan, lalu beliau doakan makanan itu seperti yang diajarkan Allah swt. kepada beliau. Para tamu makan semuanya sampai kenyang, dan setelah itu mereka pergi. Kecuali beberapa orang di antara mereka masih tetap bercakap-cakap dan memanjang-manjangkan percakapan mereka. Nabi saw. malu akan menegur mereka, lalu beliau keluar dan meninggalkan mereka dalam rumah. Kerana itu Allah 'Azza wa Jalla menurunkan ayat: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi, kecuali bila kamu telah disilakan untuk makan, tanpa menunggu-nunggu makanan terhidang." (Al Ahzab : 53).

No comments:

Post a Comment